Selasa, 28 Julai 2009

Himpunan Mansuh ISA... Jom...


Internal Security Act (ISA) atau Akta Keselamatan Dalam Negeri dijadikan undang-undang pada tahun 1960. Kuasa mutlak berkenaan ISA telah diberikan kepada Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri.

Melalui ISA, Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri boleh mengarahkan pihak polis menahan sesiapa sahaja selama 60 hari berturut-turut tanpa perbicaraan. Selepas 60 hari, seseorang tahanan itu boleh ditahan lagi selama tempoh 2 tahun jika diluluskan oleh Menteri dan tempoh itu boleh disambung tanpa had maksimum.

Penahanan boleh dibuat tanpa perlu membawa mereka yang dituduh ke mahkamah untuk dibuktikan bersalah atau tidak. Bermakna orang yang tidak bersalah juga boleh ditahan mengikut kehendak Menteri.

ISA BERCANGGAH DENGAN HAK ASASI MANUSIA DAN ARTIKEL 5 PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN MALAYSIA DAN DIBAWAH ARTIKEL 5, 6, 7, 8, 9, 10 DAN 11 DEKLARASI HAK ASASI ANTARABANGSA.

Oleh itu, adalah menjadi satu tanggungjawab kepada seluruh warganegara Malaysia menyatakan bantahan dan mendesak Kerajaan Memansuhkan Akta ISA sebelum anda dan keluarga anda menjadi mangsa kezalimannya.



Sumber : Edaran



Rabu, 22 Julai 2009

Israk Mikraj

Hanya hamba Allah yang yakin denganNya sahaja dapat menghayati dan mengikuti pengajaran israk mikraj.

Israk bererti perjalanan Nabi Muhammad SAW dari Masjidilharam di Mekah ke Masjidil Aqsa di Baitul Maqdis di Palestin.

“Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil-Haraam (di Mekah) ke Masjidil-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”
(Q.S. Al-Israa’: 1).

Manakala Mikraj pula merujuk kepada perjalanan baginda SAW dari Masjidil Aqsa ke Sidratulmuntaha di langit ketujuh, dekat singgahsana Allah SWT.

“Dan demi sesungguhnya! (Nabi Muhammad) telah melihat (malaikat Jibril dalam bentuk rupanya yang asal) sekali lagi di sisi “Sidratul-Muntaha”; yang di sisinya terletak syurga “Jannatul-Makwa”. (Nabi Muhammad melihat Jibril dalam bentuk rupanya yang asal pada kali ini ialah) semasa “Sidratul-Muntaha” itu diliputi oleh makhluk-makhluk dari alam-alam ghaib, yang tidak terhingga. Penglihatan (Nabi Muhammad) tidak berkisar daripada menyaksikan dengan tepat (akan pemandangan yang indah di situ yang diizinkan melihatnya), dan tidak pula melampaui batas. Demi sesungguhnya ia telah melihat sebahagian dari sebesar-besar tanda-tanda (yang membuktikan luasnya pemerintahan dan kekuasaan) Tuhan-Nya.”

(Q.S. An-Najm: 13-18).


Antara beberapa pengajaran israk mikraj ialah:

1. Manusia harus sentiasa mengadakan hubungan dengan Allah, baik di kala ditimpa kesusahan mahupun di kala mendapat kesenangan. Ini kerana hanya Allah yang berkuasa memberikan pertolongan, menghilangkan segala kesedihan, dukacita dan kesusahan pada diri manusia. Sebagaimana yang diceritakan, Nabi telah ditimpa beberapa musibah sebelum terjadi Israk Mikraj. Dalam keadaan demikian, datang perintah untuk Israk Mikraj, iaitu untuk berhadapan dengan Allah SWT. Ini memberi pengajaran kepada kita agar mendekatkan diri kepada Allah sewaktu didatangi musibah dan pelbagai permasalahan dalam kehidupan. Apatah lagi ketika kita berada dalam kegembiraan, seharusnya semakin hampir lagi kita denganNya. Caranya ialah dengan melaksanakan semua perintah-Nya dan menjauhi semua larangan-Nya di samping terus meningkatkan ketakwaan dan amal ibadat.

2. Menjauhi perkara mungkar dan maksiat. Semasa Israk Mikraj, tepatnya sewaktu Nabi diajak meninjau keadaan neraka, baginda ditunjukkan berbagai bentuk penyeksaan dahsyat yang sedang dialami oleh berbagai kaum sebagai akibat daripada segala macam bentuk kejahatan yang pernah mereka lakukan. Misalnya Nabi diperlihatkan kepada satu kaum yang memecahkan sendiri kepala mereka dengan batu besar, setelah pecah ia kembali bertaut seperti sediakala. Nabi juga melihat bentuk penyeksaan yang lain seperti seksaan bagi pemakan riba, penzina, pengumpat, yang suka memfitnah dan lain-lain lagi. Ini semua memberi iktibar supaya kita yang hidup di dunia ini tidak melakukan segala perbuatan tercela itu dan juga pekerjaan lain yang jelas dilarang Allah kerana begitulah seksaan yang bakal diterima oleh seseorang di akhirat nanti sekiranya perbuatan yang dilarang Allah itu dilakukan.

3. Perintah solat sebagai suatu bentuk ibadah yang Allah sendiri menggariskan ketentuan mengenainya. Kewajipan solat berbeza dengan kewajipan yang lain seperti puasa, zakat dan haji. Ini adalah kerana kewajipan solat diterima langsung oleh Nabi daripada Allah sewaktu bertemu Allah pada malam Mikraj tanpa perantaraan malaikat Jibrail. Ini menunjukkan keistimewaan dan kelebihan solat berbanding ibadah-ibadah lain, dan solat juga amalan yang paling awal dihisab di akhirat kelak. Dengan solat, kita berpeluang untuk berdialog langsung dengan Allah, iaitu ketika bersolat.

4. Mengakui dan tunduk kepada kebesaran Allah sebagai pencipta agar keyakinan terhadap kekuasaan-Nya benar-benar bersemi di jiwa manusia. Ini kerana sewaktu Israk Mikraj, Allah memperlihatkan kepada Nabi akan keagungan dan berbagai keajaiban ciptaan-Nya yang terdapat di alam tinggi bernama langit itu seperti Sidratul Muntaha, syurga dan lain-lain lagi.

5. Anjuran memberi salam. Di sepanjang perjalanan Mikraj, Nabi tidak pernah lupa mengucapkan salam kepada rasul yang baginda temui. Ini mengingatkan kita kepada keutamaan memberi salam dan galakan supaya selalu memberi salam kepada saudara sesama Islam sebagai tanda penghormatan dan untuk mengeratkan hubungan.

6. Mengingatkan usia dunia yang sudah tua yang mana dibayangkan melalui pertemuan Nabi dengan seorang nenek tua. Ia memberi gambaran kepada kita yang umur dunia sudah lanjut dan hampir berlaku kiamat. Hakikat ini memperingatkan setiap Muslim bahawa segala kemewahan dan kesenangan dunia hanyalah bersifat sementara. Hanya ketakwaan dan amal salih menjadi bekalan untuk ke akhirat.

7. Berwaspada dengan rayuan dan tipu daya iblis, di mana sewaktu Israk, pada awal perjalanan lagi jin ‘Afrit telah mengejar baginda dengan membawa obor untuk menghalang perjalanan Nabi dan berusaha memperdayakan baginda. Peristiwa ini memperingatkan kita bahawa syaitan dan iblis tidak akan jemu-jemu untuk menyesat dan memperdayakan umat manusia dengan pelbagai cara.



Abe Uji mulakan tugas wakil rakyat


KUALA KRAI, 20 Julai (Hrkh) - Biar pun baru seminggu dinobatkan sebagai wakil rakyat di Manek Urai, namun Mohd Fauzi Abdullah sudah keluar masuk kampung menemui orang ramai.

Hari ini beliau menghadiri majlis kesyukuran yang diadakan penduduk di Lata Rek dan Chatel. Beberapa hari lalu jamuan laksa diadakan di Chuchuh Puteri.

Dan Jumaat ini beliau juga menerima jemputan majlis kesyukuran daripada nelayan di sebuah kampung di Besut.

Sehingga hari ini beliau sudah menemui sebahagian besar pengundi di hampir semua peti undi di Dun Manek Urai bagi merakamkan penghargaaan di atas sokongan padu mereka mempertahankan perjuangan Islam.



Semoga Abe Uji yang sudah pun mula diuji kepimpinannya sebagai wakil rakyat Manek Urai dapat menjalankan tugas dengan sebaik-baiknya bersama doa para pimpinan PAS dan sahabat-sahabat seperjuangan..... InsyaAllah...



Manek Urai

Manek Urai: Pas menang tipis 65 undi

KUALA KRAI: Calon Pas, Mohd Fauzi Abdullah menang pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Tuan Aziz Tuan Mat dengan memperoleh majoriti 65 undi.

Mohd Fauzi memperoleh 5,348 undi manakala Tuan Aziz mendapat 5,283 undi.

Pengumuman mengenai keputusan pilihan raya kecil itu dibuat Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Adnan Hussin jam 8.56 malam tadi di pusat penamaan calon di Dewan Petra, Sekolah Menengah Sultan Yahya Petra 1, di sini.



Seminggu telah berlalu... keputusan PRK di Manek Urai tetap terpahat di hati kedua-dua pihak yang bertanding.. samada parti PAS atau BN... Menang tipis di mata PAS dan Pakatan Rakyat memang agak mengejutkan kerana sebelum ini kita mendapat majoriti yang agak besar... tapi banyak faktor yang perlu difikirkan sebelum menuding jari kepada sesiapa.. Lantas sama-samalah kita muhasabah diri..

Post mortem akan dijalankan oleh PAS dalam masa terdekat ekoran kemerosotan ketara undi diperolehi pada pilihan raya kecil Dun Manek Urai.

Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dato' Abdul Halim Abdul Rahman berkata, beberapa faktor antaranya janji untuk menyediakan jambatan baru di Manek Urai dan sogokan wang boleh mempengaruhi sikap pengundi luar.

Apa-apapun tahniah kita ucapkan kepada kebijaksanaan penduduk Manek Urai yang telah berjaya mempertahankan kerusi tersebut.

Rabu, 8 Julai 2009

PPSMI dimansuh 2012..

Pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dimansuhkan sepenuhnya tiga tahun lagi, iaitu pada tahun 2012, demikian diumumkan oleh Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Pengumuman itu, susulan keputusan mingguan jemaah menteri pagi ini, yang dibuat jam 2.30 di kementeriannya di Putrajaya.

Di sekolah kebangsaan, bahasa Melayu akan menggantikan bahasa Inggeris untuk mengajar Sains dan Matematik, sementara sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil akan menggunakan bahasa ibunda masing-masing. Pemansuhan itu dijalankan berperingkat-peringkat sehingga semua pelajar yang terlibat dengan dasar itu tamat peringkat masing-masing.

Setelah kian lama sejak diperkenalkan pada tahun 2003, PPSMI terus dilaksanakan tanpa restu rakyat jelata.. tanpa mendengar pandangan ahli-ahli akademik... tanpa memikirkan keperitan guru-guru dan pelajar....

Kini dengan kebangkitan rakyat, barulah puak-puak pembuat dasar, yang sering bongkak dengan setiap dasar yang mereka agung-agungkan itu merasa tergugat.. takut nasib yang akan menimpa mereka andai diteruskan juga PPSMI hingga 4 tahun akan datang..

Walaubagaimanapun, syukur ke hadrat Ilahi.... perjuangan kita telah kian nampak hasilnya di mata rakyat... Alhamdulillah....